Dinar Emas lebih berkuasa berbanding senjata nuklear
Seperti yang diketahui, AS mempunyai hutang awam dan persendirian yang sentiasa berganda sejak 1995. Pada 2003 hutang berkenaan berjumlah A$34 trillion (AS$34,000,000,000,000 atau RM124,000,000,000,000). Hutang di AS berkembang lebih pesat berbanding pendapatan.
Rakyat Amerika mampu hidup mewah melebihi kemampuannya bukan disebabkan ketekunan mereka bekerja tetapi mereka bergantung kepada mata wang dolar mereka. Selagi seluruh dunia mempunyai keyakinan terhadap dolar sebagai matawang rizab dunia, selagi itulah mereka hidup bermewah-mewah.
Jika seorang pekerja bekerja dan menyimpan titik peluhnya dalam bentuk matawang, ianya tidak selamat kerana mudah di spekulasikan. Contohnya bulan ini RM30 mungkin boleh membeli seguni beras, setelah dispekulasikan mungkin nilainya sekadar separuh guni beras sahaja. Begitulah cara sistem dunia mengaut keuntungan dan mencuri titik peluh seseorang.
Sebagai jalan selamat, kita perlu menggunakan Dinar Emas. Umat Islam boleh mencapai banyak kejayaan, jika menggunakan dinar emas Islam sebagai matawang untuk perdagangan antarabangsa. Dinar emas tidak mudah untuk dispekulasikan menjadikan pihak Barat sukar untuk mencuri titik peluh 1.5 billion umat Islam. Kekayaan umat Islam boleh disatukan dalam satu matawang sendiri.
Dinar emas sebenarnya lebih berkuasa berbanding senjata nuklear, kerana dinar emas mampu meranapkan dan meruntuhkan mana-mana empayar yang sombong dan angkuh seperti AS. Sebagai contohnya Kesatuan Soviet tidak tumbang melalui peperangan tetapi melalui senjata ekonomi oleh AS. Masalahnya 50 negara Islam ini belum mampu lagi bersatu. Negara -negara Arab masih lagi setia kepada Amerika. Arab Saudi adalah negara kaya dengan sumber semula jadi dan mempunyai dana yang banyak, malangnya dana itu digunakan untuk mengukuhkan dolar AS. Mereka inilah yang menjadi masalah kepada umat Islam.
Tindakan AS memberi bantuan dan pinjaman kepada negara-negara Arab membelenggu kebebasan mereka. Sikap para pemimpin Arab yang terlalu tamak dengan kuasa dan material mengakibatkan dunia Islam sukar membuat keputusan untuk kepentingan bersama.
Mesir boleh dijadikan contoh di mana AS berjaya melunturkan negara yang dianggap penting dalam Liga Arab hanya dengan bantuan sebanyak AS$2 billion setiap tahun.
Sungguhpun bangsa Arab dikebali dengan sifat degil tetapi perasaan takut kehilangan kuasa dan kekayaan mengalahi segala-galanya. Pemimpin-pemimpin negara Arab Saudi, Mesir, Qatar, Kuwait, Jordan dan Maghribi adalah penyokong kuat AS. Mereka menjadi masalah kepada umat Islam terutama dalam membuat keputusan.
Kita harus membebaskan diri dari cengkaman AS. Seperti yang diketahui, AS adalah negara yang banyak mencaturkan politik dunia. Di Afganistan contohnya, setelah kejatuhan Taliban terdapat usaha untuk merosakkan generasi muda Afghan. Penyebaran VCD lucah berleluasa, gejala penagihan arak dan kemudahan penanaman ganja yang tidak terkawal. Mereka juga mewujudkan pub-pub dan kafe siber yang membekalkan bahan-bahan lucah untuk meruntuhkan akhlak generasi muda Afganistan.
Kemelaratan hidup penduduk di negara Afrika juga berpunca dari mereka. Sebenarnya negara-negara Afrika boleh berkembang dan maju seperti negara lain. Dasar Barat terhadap Afrika menyekat ianya berlaku. Ini kerana mereka ingin membenarkan sistem perhambaan oleh nenek moyang mereka dahulu, bagi memperlihatkan kepada dunia bahawa generasi Afrika di Barat lebih beruntung berbanding di tempat asal mereka.
Kesimpulannya Negara-negara Islam perlu menyokong penggunaan Dinar Emas kerana ia lebih berkuasa daripada senjata nuklear. Penggunaan Dinar Emas juga dapat memajukan dan membebaskan ummah dari belenggu kemiskinan. Masalah utama untuk merealisasikan Dinar Emas adalah rasuah politik negara Barat. Pemimpin-pemimpin negara Barat perlu membebaskan diri dari rasuah politik kerana ia adalah kesenangan yang bersifat sementara. Sejarah telah membuktikan sekatan ekonomi AS telah memajukan Iran, dan sejarah juga telah membuktikan mereka yang menerima rasuah politik dari Barat hidup dalam kehinaan.
Dihiaskan kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu wanita-wanita dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan haiwan-haiwan ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). [Ali Imran; Ayat 14]
Maka, tersebutlah alkisahnya, pada 21 Februari lalu, telah diadakan Seminar Dinar Emas 2009 yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya.
Langkah persatuan itu kena pada tempatnya. Saya tak sempat menghadiri seminar itu atas sebab-sebab tertentu. Moga acara seumpama ini akan dapat dijalankan daripada semasa ke semasa.
(Kepada mereka yang masih belum sedar, kita perlu beritahu bahawa dunia kita sedang berada di ambang krisis yang parah akibat sistem kapitalis. Dan, emas itu adalah antara dana penyelamat, aset bernilai masa depan!)
Saya fikir, adalah satu keperluan yang amat mendesak ke atas persatuan pelajar tersebut untuk mengadakan follow-up ke atas para peserta bagi mendapatkan maklumbalas berhubung seminar tersebut. Ini syor pertama.
Dengan ini, persatuan itu dapat mengkaji di manakah kelemahan yang boleh mereka perbaiki dari semasa ke semasa.
Syor kedua, salinan kertas kerja itu perlulah dikaji atau kalau boleh dibukukan, dijilidkan untuk sebaran umum. Kita boleh cari mana-mana penerbit yang mungkin berminat menerbitkan hasil kajian, pemikiran dan cadangan yang dikemukakan oleh para pembentang kertas kerja di dalam seminar tempoh hari.
Setidak-tidaknya, seminar itu akan menyebabkan makin ramai pesertanya membeli emas, khasnya kalangan pelajar. Apabila wujud kesedaran membeli emas sebagai pelaburan dalam kalangan siswa, mungkin beban hutang PTPTN yang asalnya menjadi 'liabiliti' itu boleh diangkat sebagai aset.
Kalaulah seminar itu tidak menyebabkan keghairahan kepada pesertanya untuk membeli emas, barangkali ini petaka buruk yang bakal menimpa anak bangsa Melayu Islam dalam jangka masa panjang.
Kalau mahu diulas bab ini, panjang riwayatnya nanti. Tapi, memadailah kita katakan bahawa emas itulah harta kita yang sebenarnya jika mahu dibuat simpanan.
Petaka ke atas bangsa ini terjadi akibat kemiskinan. Kemiskinan itu adalah petaka besar dalam bangsa kita. Ini kerana kekuatan sesuatu bangsa itu diukur melalui sejauhmanakah aset yang mereka ada. Berdasarkan nas, dalil daripada Surah Ali Imran; Ayat 14, harta-harta itu adalah..
Keluarga (anak-anak dan isteri), emas, perak, kuda peliharaan (kenderaan seperti kereta pada zaman ini); haiwan ternak termasuk kebun-kebun tanaman atau tanah ladang untuk bercucuk tanam.
Kedudukan emas di dalam al-Quran (11 ayat)
Sekarang, marilah kita teliti tentang bagaimanakah kedudukan emas di dalam al-Quran itu? Berapa kalikah Allah s.w.t menyebutkan perihal emas itu di dalam al-Quran?
Surah Ali Imran; Ayat 75 menyebutkan: "Dan antara ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harga sekali pun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar saja dia tidak akan mengembalikan kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya."
Sesungguhnya orang-orang yang kafir lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun. [Ali Imran: 91]
Dan kaum Nabi Musa, sesudah dia (pergi ke Gunung Tursina), mereka membuat dari barang-barang emas perhiasan mereka, (patung) anak lembu yang bertubuh dan bersuara (Allah berfirman): "Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya (berhala yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang melakukan kezaliman." [al-A'raaf: 148]
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. [Surah At-Taubah: Ayat 34 - 35]
Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya." Katakanlah (wahai Muhammad):" Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul? [Surah Al-Isra'; Ayat 93]
Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya. [Surah Al-Kahfi; Ayat 31]
Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera. [Surah al-Hajj; Ayat 23]
(Balasan mereka ialah) Syurga-syurga "Adn", yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera. [Surah Faatir; Ayat 33]
"(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?" [Surah az-Zukhruf; Ayat 53]
Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala dari emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta dipandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): "Kamu adalah tetap kekal di dalamnya". [Surah az-Zukhruf; Ayat 71]
Emas kekal sehingga ke akhirat!
Nampaknya emas dan perak ini berperanan juga di negeri akhirat kelak, sama ada dalam syurga atau neraka. Tuhan menyebut di dalam al-Quran betapa orang yang kufur dengan nikmatNya akan dibakar bersama emas dan perak tersebut.
Dan hal ini mungkin juga hukuman bagi orang yang tidak membayar zakat atau mereka yang menggunakan emas, perak itu untuk menindas orang miskin, membeli hamba abdi dan menjatuhkan maruah wanita ke lembah pelacuran dan lainnya.
Manakala, bagi mereka yang beriman, dipakaikan gelang emas pada tangan mereka. Ia sesuatu yang diharamkan bagi lelaki di dunia ini, tetapi dihalalkan bagi mereka di akhirat kelak.
Orang-orang yang beriman, tentulah akan membayar zakat dan ini menyebabkan harta itu berkitar semula kepada Muslimin dan dengan cara inilah orang-orang yang susah akan mendapat bantuan dan imbuhannya.
Tidak disebutkan tentang duit Ringgit (Malaysia), Dollar (America), Rupee (India), Rupiah (Indonesia), Pesos (Filipina) atau New Shekels (ILS) di Israel.
Ini kerana, kertas ini adalah ciptaan manusia yang tiada nilainya di dunia ini pada hakikatnya. Tapi, emas adalah sejenis logam ciptaan Allah s.w.t yang bersifat kekal sehingga ke akhirat kelak!
Bezanya, jika pemilik emas itu jahat, maka emas itu dibakar di neraka dan mereka disiksa dengan kepanasan emas yang telah dilebur oleh api neraka Jahanam itu.
Sebaliknya, mereka yang beramal soleh, pandai menggunakan harta itu dengan jalan yang betul dan diredhai Allah, maka emas itu akan dikembalikan kepada mereka di syurga kelak sebagai yang telah disebutkan Tuhan di dalam al-Quran tadi. Wallahu'alam..